02 October 2009

Selamat Hari Jadi buat Amy!

Hari ini merupakan harijadi Amy yang ke-3x tahun. Usia menganjak pergi dan masa tidak menunggu kita. Kita yang perlu mengejar masa!

Semalam, dalam perjalanan untuk membeli barang keperluan dapur, aku berterus terang kepada Amy bahawa aku tidak akan membelikannya jambangan bunga sebagaimana yang dia lakukan kepadaku pada harijadiku Jun lalu. Dia sekadar mengangguk, namun aku tidak pasti sama ada dia setuju atau tidak. Aku terus memberikan rasional bahawa adalah lebih baik aku bertanya dulu apakah yang dia inginkan untuk harijadi kali ini. Walaupun, nampak tidak romantik, ianya lebih berbaloi dan menjimatkan... apatah lagi, selera kami tidak selari.

Apapun, Selamat Menyambut Ulang Tahun Kelahiran yang ke-3x buat Amyku yang tersayang...

Moga Allah SWT lanjutkan usia Ayang dan mengurniakan rahmat-Nya kepada Ayang. Moga sejahtera selalu kerana aku menyayangimu, begitu juga Aiman dan Abby.

Selamat Hari Jadi Sayang!

18 September 2009

Jenazah Mariam selamat dikebumikan

KOTA TINGGI: Mariam Johari, wanita yang meninggal dunia di Korea Selatan selepas terkandas di negara itu selama 64 tahun, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Makam, di sini, petang ini.

Jenazah warga emas berusia 88 tahun itu dikebumikan kira-kira jam enam petang dengan dihadiri kira-kira 50 orang termasuk anaknya, Ramlah Sonni, 74, Jelani, 72, adik bongsu Mariam, Iash Johari, 76.

Terdahulu, hujan lebat mengiringi ketibaan jenazah Mariam di Hospital Kota Tinggi kira-kira jam 3.40 petang untuk dimandi dan dikafan sebelum disembahyangkan di Masjid Jamek Kota Tinggi kira-kira jam 5.15 petang.

Mariam menghembuskan nafas terakhirnya di sebuah rumah kebajikan di Korea Selatan pada 5 September lalu akibat kegagalan buah pinggang.

Terdahulu, jenazah Mariam diterbangkan dari Seoul pada jam 8.50 malam semalam dengan pesawat Thai Airways melalui Bangkok dan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 12 tengah hari tadi.

Mariam atau nama Koreanya, Kim Soon Ae, yang dilahirkan di Plentong, Johor Baharu, terkandas di Korea Selatan selepas mengikuti Cho Se Won, seorang tentera kerahan Jepun.

Hasrat Allahyarham untuk bertemu anak-anaknya yang ditinggalkan di negara ini sebelum ini termakbul melalui inisiatif stesen penyiaran Korea Broadcasting System (KBS) apabila beliau ditemukan dengan Ramlah, Jelani, cucunya, Ahmad Onn, 43, dan menantu, Siti Zainab Noor, 37, di studio KBS di Seoul pada 18 Julai 2007 menerusi program "Love in Asia".

Pada 5 September 2007, warga emas itu kemudian pulang ke negara ini untuk bertemu keluarganya dan kembali semula ke Korea Selatan pada 13 September 2007.

Sementara itu, Jelani ketika ditemui berkata, beliau dan seluruh ahli keluarga bersyukur kerana jenazah ibunya dapat disemadikan di sini seperti yang dihasrat ibunya.

"Terima kasih kepada semua pihak yang bersusah-payah menguruskan penghantaran jenazah ibu saya. Raya ini amat bermakna sekurang-kurangnya kami dapat melawat pusara ibu kami pada hari raya kali ini," katanya. - Bernama

16 September 2009

Rentetan kisah kembalinya jenazah Mariam ke tanah air

13:06 PM
Jenazah Mariam selamat tiba di KLIA

SEPANG: Jenazah Mariam Johari selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, 12.10 tengah hari tadi dari Seoul, Korea Selatan.

Jenazah yang disambut anaknya, Jelani Sonni, 72, dan beberapa ahli keluarga lain sebelum dibawa ke kampung halamannya di Kota Tinggi, Johor.

Mariam, 88, meninggal dunia 6 September lalu di rumah orang tua di Seoul, selepas 64 tahun terkandas di Korea Selatan

16:23 PM
Jenazah Mariam tiba di Kota Tinggi

KOTA TINGGI: Jenazah Mariam Johari, 88, tiba di Kota Tinggi kira-kira jam 4 petang ini untuk dikebumikan di tanah perkuburan Kampung Makam, di sini.

Jenazah dibawa pulang menggunakan van Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) diiringi kakitangan Pejabat Agama Daerah Kota Tinggi yang membawa enam ahli keluarga Mariam, termasuk anaknya, Jelani Sonni, 72, isteri Jelani, Suriah Anwar, 54, dan cucunya, Ahmad Onn, 43.

Jenazah terus dibawa ke Hospital Kota Tinggi (HKT) untuk dimandi dan dikapankan, dan akan disembahyangkan di Masjid Jamek Kota Tinggi, sebelum dikebumikan.

Terdahulu, jenazah Mariam Johori selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) mengikut jadual, kira-kira jam 12.10 tengahari.

12 September 2009

Anak henti sementara berniaga

JOHOR BAHRU: Jelani Sonni, 72, anak lelaki kepada Mariam Johari, 88, tidak dapat meneruskan perniagaannya menjual kuih di Pasar Ramadan Perhentian Bas, Taman Kota Jaya di sini, sejak beberapa hari lalu kerana asyik memikirkan bila jenazah ibunya akan dibawa pulang ke negara ini.

Jelani berkata, sejak berita mengenai jangkaan kepulangan jenazah ibunya disiarkan di akhbar, ramai saudara mara serta jiran bertanyakan pelbagai soalan mengenai Mariam.

“Saya langsung tidak dihubungi pihak Wisma Putra untuk dimaklumkan mengenai perkembangan pengurusan membawa pulang jenazah emak sejak surat dihantar kepada mereka sedangkan mereka sudah ada nombor saya.

“Hari ini (semalam) sudah masuk hari keenam jenazah masih belum dikebumikan... keadaan ini menyeksa arwah mak, ” katanya ketika dihubungi, petang semalam.

Jenazah Mariam hampir dibakar

Oleh Siti Nurbaiyah Nadzmi
nurbaiyah@nst.com.my

Pihak pengurusan lambat terima pengesahan daripada Kedutaan Malaysia lambat beri pengesahan

KUALA LUMPUR: Jenazah Mariam Johari, 88, hampir dibakar semalam, sebelum dibawa balik ke New Best Hospital bagi membolehkan jenazah warga emas itu dihantar pulang selepas mendapat pengesahan dan jaminan kerajaan untuk dikebumikan di Malaysia, Rabu depan.

Mariam yang meninggal dunia di Seoul, Korea Selatan, Ahad lalu dibawa ke rumah pembakaran mayat kerana sehingga malam kelmarin, pihak yang menguruskan jenazahnya tidak mendapat lampu hijau dari pejabat Kedutaan Malaysia di Seoul.

Usaha untuk menghantar Mariam pulang menemui jalan buntu dan menjadi terawang-awang apabila anak tiri Mariam, Ji Yong Un, tidak mendapat kata putus dari pejabat kedutaan Malaysia, menyebabkan semua prosedur untuk penghantaran pulang terbantut.

Ji akhirnya mengambil keputusan untuk meneruskan upacara pembakaran pada jam 3 waktu tempatan (jam 2 petang waktu Malaysia) semalam, apabila sejam sebelum upacara itu berlangsung, mereka mendapat pengesahan yang dinantikan selama ini.

Ini adalah kali kedua upacara pembakaran mayat Mariam tergendala, tetapi kali ini dengan kepastian yang jenazah Mariam akan diterbangkan ke Malaysia dan dijangka dikebumikan di Kota Tinggi, Johor.

Penerbit dokumentari Korean Broadcasting System, Park Keon Young, yang berada dalam kenderaan jenazah itu, berkata berita itu melegakan banyak pihak, termasuk keluarga Mariam di Seoul, dermawan dan kumpulan yang bersimpati dengan kisah Mariam.

"Kami semua lega kerana kes ini tidak lagi terawang-awang dan akhirnya mendapat satu kepastian," katanya yang menelefon wartawan New Straits Times, dari dalam kenderaan itu sebaik saja menerima berita pengesahan itu.

Kata Park lagi, semua prosedur untuk mengawet jenazah Mariam dan penyediaan dokumen terpaksa dihentikan semalam kerana tidak mendapat maklum balas positif dari pejabat kedutaan.

"Kami mulanya sudah tidak mengharap lagi apa-apa perkembangan dari pejabat kedutaan dan menganggap penangguhan tanpa sebab adalah suatu perbuatan yang menghina jenazah.

"Malam tadi kami telah membuat keputusan untuk meneruskan upacara pada petang ini," katanya.

Park berkata, jenazah Mariam akan ditempatkan di hospital sama untuk proses pengawetan sebelum penerbangan pulang ke Malaysia.

Semua prosedur penghantaran pulang akan diuruskan antara pejabat kedutaan dan pejabat Menteri Luar Korea.

"Kami berharap selepas ini semua urusan akan dilaksanakan dengan segera tanpa halangan lagi," katanya.

Kali pertama majlis dihentikan adalah pada Selasa lalu apabila seorang selebriti Malaysia menawarkan diri untuk menanggung kos penghantaran pulang jenazah Mariam ke Malaysia setelah wanita itu meninggal dunia di sebuah rumah penjagaan orang tua di Seoul.

Malangnya Wisma Putra mengeluarkan kenyataan bahawa Mariam telah melucutkan kewarganegaraan Malaysia pada hujung 2007 sekali gus menggugurkan kuasa organisasi itu untuk membawa pulang jenazahnya.

Sejurus selepas kenyataan itu dibuat, sekumpulan dermawan Korea pula mengaturkan usaha untuk membawa pulang Mariam tetapi turut menemui jalan buntu apabila pihak kedutaan tidak memberi maklum balas yang positif.

Luqies ~ Kerenah birokrasi? Tahap kecekapan? Atau, tahap kelembapan yang teramat tinggi? Siapa boleh jawab?